Tuesday, August 17, 2010

Tanamkan Percaya, Usah Lekas Putus Asa Dengan Jodoh !


Copy dari http://afiqsaleh.blogspot.com

Banyak lebah yang hinggap pada bunga yang sama, namun siapakah yang menjadi pilihan hati si bunga?

Sebahagian orang, amat mudah bertemu dengan jodoh mereka. Tidak perlu terlalu panjang merancang dan kuat berusaha, jodoh itu datang sendiri kepadanya. Tup tap, tup tap, dikhabarkan ada orang yang ingin masuk merisik atau bertanya status (selalu terjadi kepada seorang wanita). Ada juga jalan mereka ke arah perkahwinan dipermudahkan oleh Tuhan, bercinta dan menjalinkan hubungan tidaklah terlalu lama, cukup hari bulan dan kewangan, majlis raja sehari pun terus berlangsung. Seakan tidak percaya, semalam baru saling berpandangan, hari ini sudah boleh berduaan dan berpegangan (secara halal).

Nabi saw mengajarkan kepada umatnya agar dalam apa jua pekerjaan yang memerlukan sebuah keputusan, sebaiknya didahului dengan memohon petunjuk. Tidak kiralah keputusan itu merangkumi aspek yang besar mahupun yang kecil seperti ingin membeli kereta atau sebagainya. Tujuannya supaya kita tidak menyesal dengan pilihan yang dibuat dan masih mempunyai baki harapan yang diletakkan kepada ALLAH taala. Sekurang-kurangnya, jika kecewa atau telah tersalah dengan keputusan yang dibuat, kita masih boleh menganggap ini adalah takdir ALLAH yang menghendakkan berlaku begini.

Lantas, apa saja keputusan yang telah terjadi akan menjadikan kita sentiasa ceria kerana kebersamaan kita dengan ALLAH dalam membuat satu-satu keputusan. Itulah dia yang dinamakan
Istikhoroh.

Dalam soal memilih jodoh begitulah jua, sesetengah orang Tuhan memudahkan urusan mereka dalam memberi petunjuk. Mungkin benar, kadangkala petunjuk itu hadir melalui mimpi jika betul apa yang diniatkan dan ikhlas. Namun, tidak semua manusia bisa menemui jalan petunjuk menerusi jalan mimpi. Ada yang sudah puas mengerjakan solat Istikhoroh sepanjang malam, ditambah pula dengan Solat hajat agar diberi juga petunjuk, namun muka bakal suaminya tidak juga muncul. Jangankan di dalam mimpi, di luar mimpi pun sukar hendak berjumpa. Si dia asyik sibuk memanjang, maklumlah bakal suami seorang berjawatan presiden di kampus.

Oleh itu, janganlah lekas berputus asa, jika istokhoroh anda masih belum menemui jalan penamat. Bak kata pepatah, selagi seseorang itu belum berkahwin, selagi itulah harapan anda untuk bertemu jodoh dengannya masih terbuka. Sungguh, percayalah kata-kata saya! Jodoh itu terlalu luar biasa percaturannya. Tidak rugi anda bersabar dan terus berusaha untuk itu, mereka yang kerap kecewa dengan cinta adalah mereka yang cepat berputus asa dengan jodoh mereka. Sedangkan, jika Tuhan telah menetapkan bahawa lelaki atau wanita itu sebagai jodoh dan pasangan kita, pergilah sejauh mana sekalipun, dia tetap akan menjadi jodoh anda. Itulah dia tanda keajaiban
qadha’ dan qadar ALLAH taala.

Ikan di laut, asam di darat, dalam kuali bertemu jua!

Ramai orang yang telah mendirikan rumah tangga mengakui, mereka tidak pernah terlintas akan berkahwin dengan si polan dan si polan. Orang Sarawak menjadi pasangan kepada lelaki Kedah, hujung Negara ke hujung Negara! Seorang kawan saya yang kerap bergaduh dengan seorang rakan perempuan sekelasnya dahulu akhirnya ditemukan di jinjang pelamin sebagai pasangan romantic. Seorang lagi rakan saya yang juga seorang lelaki pemalu kepada perempuan, pun bertemu jodoh dengan orang yang paling saya tidak sangka-sangka. Isterinya seorang yang garang dan tegas. Bagaimana trilogi percintaan mereka saya tidak pasti, yang penting saya sangat cemburu dengan kebahagiaan yang mereka alami sekarang.

Cuma saya yang masih khuatir dengan jodoh saya, apakah kesudahannya.


SOAL TAKDIR

Saya bukanlah mahu memperlekeh dan mempersendakan soal jodoh ini, tetapi jika ada yang menganggapnya begitu ianya tidak molek. Anda harus memasangkan mind-setting di kepala anda bahawa apa jua ketetapan boleh berlaku seandainya Tuhan telah menetapkan yang sedemikian. Jika anda tidak percaya akan soal jodoh ini, berkemungkinan yakin anda kepada
qadha’ dan qadar ALLAH masih lagi lemah.

Misalnya, seorang yang telah ditakdirkan oleh ALLAH taala akan mati pada tarikh sekian dan sekian, pastinya dia akan menemui ajalnya walau apa jua cara yang dibuat untuk mengelakkan kematiannya. Buktinya telah jelas di dalam Al-Quran yang menyebutkan:
‘Apabila tibanya ajalmu (saat datang kematian), tidak akan dilewatkan atau dicepatkan walaupun sesaat’

Pergilah sejauh bulan dan bintang, di sana anda akan menemui dengan kematian jika ajal sudah sampai. Begitu juga jika yang berlaku adalah sebaliknya, jika belum sampai tarikh kematian (seperti yang tercatat di Luh Mahfuz), datanglah segala macam bahaya dan ancaman, nyawa anda masih dalam lindungan ALLAH taala. Sebab itulah, anda jangan terkejut apabila terbaca keratan berita di dada akhbar atau televisyen yang menceritakan, seorang lelaki ditemui masih hidup di bawah runtuhan bangunan selepas sepuluh hari tertimbus! Ya, itulah kuasa ALLAH, itu juga keajaiban atau bukti takdir dan jodoh adalah sangat luar biasa.

Anda tidak boleh menyamakan antara Takdir ALLAH dan tadbir manusia, kerana kuasa ALLAH itu akan mengatasi segala-galanya walaupun ianya terasa pelik dan luar biasa bagi kita. Mustahil bagi manusia adalah suatu kebiasaan bagi ALLAH. Kerana itu, mempercayai takdir dan jodoh adalah salah satu keyakinan kepada qadha’ dan qadar. Soal melaksanakan sesuatu itu adalah di bawah tanggungjawab ALLAH, kita hanya perlu berusaha dan menunggu hasilnya di samping bertawakal dengan mengharapkan yang terbaik.

Jangan perlu bimbang dan khuatir, semua yang dikurniakan oleh ALLAH adalah yang terbaik untuk hambanya walaupun di mata kita nampak tidak selesa dan kurang sesuai. Hari ini mungkin akan terasa menyesal, tunggulah 2,3 tahun lagi ketika itu senyum kita adalah senyum yang paling bermakna. Barulah kita bersungguh-sungguh berterima kasih dengan Dia dan berkata:
‘Kalaulah dari dahulu aku nampak akan kebaikkan ini, nescaya aku akan terus berharap kepada DIA dan tidak akan menyesal dengan segala takdir yang telah ditetapkan’

JODOH ITU UNIK DAN AJAIB

Saya bersimpati dengan rakan-rakan yang kerap mengambil jalan lepas tangan (putus asa) apabila perempuan yang mereka idam-idamkan menjadi milik orang lain, lebih menambahkan kekecewaan perempuan tadi dimiliki oleh teman rapat sendiri. Putus asa sebegini seolah-olah ingin menyatakan bahawa sudah tidak ada jodoh dan peluang buatnya, sedangkan seperti yang telah saya sebutkan jodoh itu akan terjadi walaupun didahului dengan pelbagai halangan. Akhirnya, ada yang terus menutup pintu hati untuk mencari pasangan hidup akibat kekecewaan yang tidak berasas.

Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Lalu mereka menjawab dengan jawapan yang kurang bermotivasi:
‘Masalahnya bunga yang itu je yang cantik, tak ada bunga lain di dunia ini seperti dia!’

Jika anda bersikap seperti ini dalam menentukan jodoh, andalah orang yang akan menjadi bujang dan andartu sehingga ke mati. Suatu kerugian yang sangat besar apabila anda menemui ajal sebelum sempat merasa nikmatnya perkahwinan. Kata Nabi saw:
‘Siapa yang telah mendirikan rumah tangga, telah sempurnalah sebahagian daripada agamanya, tinggal lagi untuk dia menyempurnakan sebahagian lagi agamanya’

Rugi besor kite yeop!!

Pesan saya, selagi mempunyai masa dan peluang untuk menemui jodoh yang terbaik, berusahalah ke arah itu sehingga mendapat apa yang kita mahukan. Saya amat pasti jika baik yang diinginkan ALLAH akan membuka ruang dan petunjuk untuk kita. Istikhoroh dan usaha jangan lekas diberhentikan. Ketahuilah bahawa ketetapan jodoh itu sangat ajaib dan luar biasa, percayakah anda jika saya katakan bahawa, seandainya telah ditakdirkan seseorang itu sebagai jodoh anda, walaupun dia sudah 'dipunyai' waimmah sudah berkahwin sekalipun, dia masih mempunyai peluang untuk menjadi jodoh anda. kalau bukan sebagai isteri pertama, mungkin sebagai isteri keduanya, atau selepas dia bercerai nanti. Lalu, mengapa lekas berputus asa dalam soal ini? Bukanlah saya bermaksud agar anda merampas suami atau isteri orang lain, tetapi saya mahukan anda terus berusaha!!

Jodoh anda, tiada siapa yang berhak untuk mengambilnya.

Kalau ia bukanlah rezeki anda, kuih yang ada di dalam mulut anda pun akan terkeluar semula. Itulah kehebatan jodoh dan takdir ALLAH.

_____________________________________
 

Nota Kehidupan (1): Hingga kini saya tidak berani mengatakan soal jodoh saya, siapa saja yang Tuhan kurniakan kepada saya itulah yang terbaik buat saya. Namun, usaha ke arahnya saya tidak akan lenturkan!

Nota Kehidupan (2): Tak perlu ragu-ragu dengan hati jika itulah petunjuk dan rasa yang dikhabarkan daripada Tuhan.

Nota Kehidupan (3): 12hb Ogos 2010 ni saya akan pulang ke tanah air, ayahanda saya masih dirawat di hospital. Saya bukan saja merinduinya tetapi juga pada Bonda yang setia menanti ayahanda di sisinya.
 

[Usah Jemu Memberi]

WALLAHUA'LAM

DEBU86 said: mmg i ada buat entri ttg jodoh n kawin ni, nanti la publish.in sya Allah

1 comment:

Anonymous said...

Amiable fill someone in on and this mail helped me alot in my college assignement. Thanks you as your information.