Thursday, February 19, 2009

Rahsia Perindu


Alhamdulillah..

Fuh, abis gak baca novel ni..agak teruja baca karya Ramlee Awang Mursyid ni.. sblum ni dpt respon dari sahabat2 yg kata novel ni best.. ni novel pertama aku baca dari banyak2 novel dia.. memang best..penuh suspen, sampaikan rasa seram bila duk baca novel ni..banyak juga unsur-unsur kerohanian yang diterapkan.. Kalau novel2 lain yg penah aku baca , agak tak sabar nak tau ending dia, smpaikan terus kepada bab terakhir, tapi novel ni memang nak gak tau sape sebenarnya Maria atau hanya sekadar mimpi je, cuma rasa rugi pula kalau awal2 lagi dah tau ending, so aku tahan sabar sikit.. selak dari helai ke helai hingga ke bab terakhir.

Agak terpana dan kagum aku kian melonjak pada otak yang ALLAH berikan pada manusia nih hingga leh hasilkan novel yang thriller cam gini.. SUBHANALLAH..

Terdetik aku pada Al Quran yang lagi-lagi lah hebat kandungan isi dan pensyariatan yang terkandung di dalamnya. Ciptaan ALLAH sangat2 hebat..(cuma muhasabah, sungguh2 ke aku meneliti kitab agung tersebut??, Terselalunya, sebagai manusia yg penuh kekurangan, aku lupa) Ya Allah..

Teringin gak nak hasilkan karya2 kurang2, cerpen ke, penah cuba, cuma lom kesampaian.. lagipun xbanyak idea..

wALLAHUA'LAM


Fragmen Novel :

RAHSIA PERINDU
nundukkan wajah sambil kedua-dua tangannya memegang jeriji besi. Di lantai simen sel terdapat tompokan air matanya. Air jernih itu bagai menghanyutkan kegalauan hatinya tika dan saat ini.

Perlahan-lahan Leopard mengangkat muka. Kelopak matanya dikecilkan. Raut mukanya berkerut. Terdapat sisa air mata masih berbekas di pipi. Tanpa mahu mengesat tumpahan air jernih itu, Leopard melurutkan rambutnya ke belakang. Bibirnya mengukir seulas senyuman sinis.
“Saya tak ingat apa-apa,” kata Leopard.
“Tapi...” Amylia cuba mencelah.

“Tak apa, kami minta maaf sebab mendesak,” pintas Dr. Azlan. Spontan tangannya terangkat sebagai isyarat bukan lisan menegah Amylia meneruskan kata-katanya. Amylia tergamam sejenak tapi tetap mematuhi arahan Dr. Azlan.
“Kalau begitu... kami beransur dulu, ya,” kata Dr. Azlan.
Leopard mengangguk tanpa melafazkan sebarang kata-kata. Anak matanya mengerling ke arah Amylia.

“Jaga diri baik-baik... emm,” ucap Amylia penuh berdiplomasi. Senyumannya sengaja dileretkan, walaupun sekadar terbentuk sedikit saja.
Sekali lagi Leopard mengangguk. Membalas senyuman Amylia. Sejurus menoleh ke arah Dr. Azlan. Lelaki itu nampak lebih tenang dan bersahaja. Dia memang sudah terlatih menghadapi situasi rumit sebegitu.
“Saya doakan awak sentiasa sihat dan dirahmati ALLAH,” kata Dr. Azlan.
Ketika Dr. Azlan dan Amylia mula bergerak, Leopard mengintai peluang. Dia berjalan pantas, menjulurkan tangan ke luar dari jeriji besi dan merentap lengan Amylia. Amylia terkejut. Dirasakan bagai jantungnya terhenti mengejut. Dr. Azlan terus memegang tangan Leopard.
“Ada yang perlu kami bantu?” Dr. Azlan bijak memanipulasikan situasi cemas itu. Dia mengisyaratkan pada Amylia agar bertenang.
“Apakah betul saya akan mati di tali gantung?”
“Tak benar,” balas Dr. Azlan.

“Kau diam! Saya tanya dia!” sergah Leopard.
Dr. Azlan mendepakan kedua-dua tangannya, serta-merta menoleh ke arah Amylia.
“Tak benar. Saya peguam bela awak. Saya akan pastikan awak menang dalam perbicaraan tu nanti!” tegas Amylia. Wajahnya kelihatan pucat. Seluruh anggota tubuhnya terasa gementar. Kerap kali dia menelan liurnya sendiri. Sepanjang pertemuan dengan anak guamnya itu, baru kali ini dia benar-benar merasakan Leopard terlalu merbahaya.
“Terima kasih.” Leopard terangguk-angguk, melepaskan cengkaman tangannya dari lengan Amylia.
“Kami pergi dulu... esok kami datang lagi...” pujuk Amylia, tersenyum manis, walaupun senyuman itu merupakan satu helah dan teragak-agak.
Leopard berpusing dan melangkah ke arah dinding sel. Di situlah dia menghadap sehingga Dr. Azlan dan Amylia keluar dari situ.

SEJURUS keluar, Amylia menangis teresak-esak. Tangannya terketar-ketar. Perlakuan anak guamnya sebentar tadi benar-benar membuatkan dia ketakutan yang teramat sangat. Kalaulah Dr. Azlan tiada bersamanya tadi, mahu saja dia rebah. Jantungnya seperti direntap kasar. Dan yang paling memalukan, hampir-hampir saja dia terkencing di situ tadi. Amylia menekup wajahnya.

Dr. Azlan membiarkan saja peguam muda itu melayani perasaannya. Baginya, itu perkara normal kerana ketakutan berupaya mempengaruhi perasaan seseorang jikalau jiwa mereka tidak teguh menghadapi situasi seperti itu.

Setelah puas menghanyutkan ketakutannya bersama linangan air mata, Amylia mengesat air jernih dengan belakang tangannya. Beberapa kali dia melurutkan rambutnya ke belakang.
“I’m sorry, doktor,” ucap Amylia.
“It’s alright,” balas Dr. Azlan, tersenyum.
“Kalaulah saya tahu, saya tak akan terima tugas ni...”
“Cik Amylia telah terima tanggungjawab ini dan saya yakin Cik Amylia boleh lakukannya. Lama-kelamaan... Cik Amylia akan biasa dengan kerenah anak guam Cik Amylia sendiri. Percayalah,” pujuk Dr. Azlan.
“Serik,” keluh Amylia lagi. Menghela nafas panjang.
“Jangan cakap macam tu. Ia akan mematikan semangat Cik Amylia.” Dr. Azlan terus menyemarakkan semangat, sekali gus menggerakkan motivasi peguam muda itu.

“Dia kata... tak ingat. Tapi dia terus bercerita...”
“Perlakuan tak normal memang begitu. Kejap dia akan kelihatan bijak dan tak lama selepas itu, dia akan dilanda kemurungan. Saya yakin masa lalu yang membuatkan emosinya tak stabil, Cik Amylia.”
“Jadi... dia bercerita tanpa menyedari bahawa sebenarnya dia telah bercerita, gitu?” Amylia merujuk ‘dia’ kepada anak guamnya yang memang bermasalah pada hematnya.
“Ya,” tegas Dr. Azlan. Sejurus dia menghela nafas panjang. “Saya sebenarnya simpati pada anak guam Cik Amylia.’”
“Kalau gitu, doktor bolehlah buat rumusan ‘tak siuman’ pada anak guam saya. Tugas doktor selesai dan saya pun bolehlah lepas tangan selepas hakim mahkamah membuat keputusan,” hujah Amylia, bersungguh-sungguh.

“Jom... kita lunch,” ajak Dr. Azlan
“Tapi doktor tak jawab lagi cadangan saya,” gesa Amylia.
“Emosi Cik Amylia tak stabil sekarang ni. Dalam kecelaruan emosi, apapun yang kita putuskan semuanya bersifat ‘tak normal’,” hujah Dr. Azlan.
“What do you mean... tak normal?”
“Apabila kita marah... apakah keputusan kita benar-benar muktamad?” Dr. Azlan pula bermain psikoanalisis dengan Amylia. Peguam muda itu mendengus kasar.

“Rasulullah sendiri pun menyatakan... janganlah kamu jadi pemarah. Dan sifat marah itu merupakan ketidakstabilan emosi.”
“Tapi saya bukannya marah,” tingkah Amylia.
“Cik Amylia kecewa dan tak kuat semangat. Itu samalah dengan marah. Semua rasa hati berbentuk negatif dalam diri kita adalah ‘tak normal’. Apabila kita berada dalam keadaan tak normal, maka kita perlu bertenang terlebih dulu. Sebab itulah saya ajak Cik Amylia makan tengah hari. Cik Amylia buat keputusan yang terburu-buru sebentar tadi.
Dan saya pula tak boleh buat keputusan yang sama terhadap anak guam Cik Amylia. Sekurang-kurangnya... saya perlu tahu di mana Maria dan sebab-sebab kukuh, yang kadangkala tak boleh diterima akal dan bersifat paranormal.

Cik Amylia telah dilantik menjadi peguam bela dia dan Cik Amylia perlu memikul tugas ini dengan penuh rasa tanggungjawab. Kalau anak guam Cik Amylia berpura-pura tak siuman, Cik Amylia juga telah mendustai undang-undang. Jadi... saya kena hati-hati dalam menjalankan tanggungjawab tugas saya. Ini melibatkan nyawa dan maruah, Cik Amylia. Nyawa tertuduh dan maruah Cik Amylia sendiri!”

Hujah Dr. Azlan benar-benar kukuh sehingga Amylia mati akal untuk membidas atau mempertahankan hujahnya.
“Okey... saya minta maaf.” Mendatar saja suara Amylia.
“Jom... kita lunch. Saya belanja Cik Amylia,” pujuk Dr. Azlan setelah meluahkan segala hujah berfakta tadi. Dia tersenyum. Senyuman itu sebagai isyarat mengendurkan ketegangan di antara mereka, yang mana masing-masing berhujah untuk meningkah hujah antara satu sama lain. Dan akhirnya Dr. Azlan menang.
Amylia tersenyum, sekali gus tertawa secara spontan. Sambil itu sempat lagi dia menghela nafas panjang bagi melegakan kebukuan yang menyempitkan dadanya.

LEOPARD masih berdiri menghadap tembok batu. Dia menggerakkan kepalanya ke hadapan dan ke belakang seperti membuainya berulang kali tanpa berasa lenguh di tengkuknya. Bola matanya memandang ke satu arah tanpa berubah-ubah. Dinding sel penjara seolah-olah tidak wujud pada pandangan matanya. Yang dilihat cuma imbasan Maria. Pada ketika ini mindanya lebih banyak bersuara.
“Aku akan gila kalau kehilangan kau, Maria. Aku tak boleh hidup tanpa kau.” Suara Harris terngiang-ngiang seolah wujud menusuk gegendang telinga.

“Percayalah... selagi nyawa masih bernafas, selagi itulah Maria tak akan pergi, Harris.” Kali ini suara Maria pula yang mengambil alih imaginasinya.
Leopard mengukir senyuman. Anak matanya bergerak-gerak. Apabila terpandang seketul batu kecil di situ, dia lekas bergerak lalu mengutipnya. Kemudian dia duduk di lantai simen, menghadap dinding dan menulis sesuatu. Bersusah payah dia melakarkan tulisannya. Bekas putih bercampur sedikit hitam kelabu, menjadi catatan lengkap di dinding. Tulisan tangannya bengkang-bengkok. Manakala saiz huruf abjad pun berubah-ubah.
Leopard bangkit dan berundur beberapa langkah ke belakang. Dia tersenyum puas apabila melihat hasil tulisannya. Dia telah meluahkan sesuatu menerusi imbasan dan diterjemahkan dalam bentuk tulisan di dinding tembok batu.

“Selagi nyawa masih bernafas, selagi itulah aku tak akan pergi.” Kata-kata Maria yang memintas mindanya sebentar tadi diambil sebagai satu azimat ungkapan untuk memantapkan semangat juangnya untuk memiliki wanita itu.
“Selagi aku tak mati, kau milik aku, Maria.” Leopard tergelak-gelak kecil.
“Walaupun kau telah mengahwini Harris, aku akan jadi igauan buruk dalam hidup kau, Maria!” Leopard menjulang kedua-dua tangannya. Dia ketawa besar.
“Hoi! Diamlah!”
“Bising! Orang gila diam!”
“Aku hairan kenapa dia ditempatkan bersama kita kat sini!” Suara tahanan reman lain, yang berasingan bilik sel dengan Leopard berteriak menyuarakan ketidakpuasan hati.

Leopard berhenti ketawa. Wajahnya berubah raut. Tiba-tiba menjadi bengis. Ekor matanya menjeling marah. Dia mendengus dan duduk sambil memegang kedua-dua kepala lututnya. Sambil melihat hasil tulisannya di dinding tembok sel, mindanya melayang-layang. Bibirnya bergerak-gerak menyanyi. Namun, suaranya sekadar beralun di rengkungan.

Harga : RM 19.90

coret-coret: sesekali blogging ni cam menulis diari pulak..

WALLAHUA'ALAM