Wednesday, July 29, 2009

Utusan Malaysia 29 Julai 2009

Akhbar yang boleh kita baca, tapi tak boleh kite percaya bulat2..

macam yang ada kat akhbar hari ni..

Jangan layan Nik Aziz

Oleh HERMAN HAMID
herman@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Julai - ''Lupakan saja Nik Aziz, perpaduan dalam Pas pun dia tak boleh nak selesai inikan pula nak tengok dia jayakan agenda perpaduan ummah.''

Itu antara reaksi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengulas tindakan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bukan sahaja berkeras menolak kerjasama dengan UMNO malah mengeluarkan kata-kata 'pergi jahanamlah UMNO'.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, Nik Aziz memang patut dilupakan bukan sahaja kerana beliau gagal membawa perpaduan dalam partinya sendiri tetapi juga tidak pernah ikhlas menjayakan perpaduan ummah.

Menurutnya, apa yang jelas, niat Menteri Besar Kelantan itu hanya satu iaitu untuk menghancurkan UMNO, sama dengan rakan politiknya yang bukan Islam iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

''Bukan apa, orang Pas sendiri tertanya-tanya siapa ketua mereka, Nik Aziz ke Abdul Hadi Awang (Datuk Seri). Pas sendiri jadi tak bersatu padu sebab ada yang lebih daripada Presiden. Jadi biar Nik Aziz dengan urusan DAP dan PKR.

''Tanpa Pas pun kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini mampu wujudkan perpaduan. Tak payah UMNO buang masa fikir perpaduan Melayu dengan Nik Aziz, yang penting rakyat tahu bukan UMNO tolak perpaduan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Aziz semalam menegaskan 'salam' kerjasama yang dihulurkan sebelum ini adalah atas hubungan antara Kerajaan Pusat dan negeri yang tiada kaitan sama sekali dengan kesediaan membentuk kerjasama antara Pas dan UMNO.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, sikap terbaru Nik Aziz itu amat dikesali apabila Mursyidul Am Pas itu lebih mementingkan kehendak politik berbanding perpaduan Islam dan Melayu yang mendesak kini.

Menurutnya, Nik Aziz sepatutnya sedar apakah bekerjasama dengan DAP dan PKR bagi menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menjamin pemerintahan negara ini terus ditunjangi kepimpinan Islam dan Melayu.

''Jadi, tak payah tumpu perhatian kepada Nik Aziz, minat dia bukan perpaduan Islam dan Melayu sebaliknya untuk menggugurkan kuasa UMNO dan BN, sama dengan niat DAP dan PKR nak hancurkan parti Melayu.

''Nik Aziz dah menyeleweng, jadi macam tak berguna lagi. Orang sudah berjanji dengan rakan politiknya yang bukan Islam untuk hancurkan UMNO, jadi kini dia pun utamakanlah tuntutan politik daripada tuntutan agama.

Sehubungan itu katanya, pada peringkat ini UMNO dan BN perlu memperkuatkan diri sendiri dan menyakinkan rakyat tentang penyelewengan kerajaan pembangkang di beberapa negeri.

Setiausaha Majlis Muafakat Melayu (MMM), Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan pula tetap berharap agenda perpaduan Melayu dapat diteruskan oleh UMNO dan Pas tanpa perlu memberi reaksi terhadap tindak tanduk Nik Aziz.

Katanya, usaha ini penting kerana cabaran yang sedang menanti orang Melayu semakin dahsyat sehingga kini sudah seakan wujud gerakan yang memburukkan jabatan-jabatan kerajaan yang diterajui pegawai Melayu.

''Kini tengok pegawai Melayu dalam agensi penguat kuasa dikecam hebat seakan ia sengaja dirancang bagi menimbulkan persepsi di kalangan rakyat bahawa pegawai Melayu tidak layak menjadi peneraju.

''Mempertahankan Melayu juga dianggap rasis malah dituduh kita aparteid pula. Jadi kalau UMNO dan Pas tak bersatu, ke mana orang Melayu nak cari jawapan bagi mempertahankan maruah diri,'' ujarnya.

Sebab itu jelasnya, hubungan antara UMNO dan Pas mesti wujud dan jalan bagi menemukan dua parti ini di meja perbincangan tetap perlu ahli akar umbi diharap dapat memahami keperluan itu walaupun Nik Aziz menolaknya dengan keras.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, walaupun Nik Aziz berkeras menolak kerjasama UMNO dan Pas, namun kesediaannya untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan Pusat dan Kerajaan negeri pimpinannya merupakan petanda baik.

''Biar Nik Aziz kata dia tolak UMNO dengan Pas tetapi pada masa sama, dia sedia bekerjasama dengan kerajaan Pusat dan ini menunjukkan dia sedia duduk semeja dengan pemimpin UMNO yang menerajui Pusat.

''Soal membantu Kelantan kita sokong kerana negeri itu hampir 100 peratus penduduknya Melayu. Dalam hal ini, pemimpin Pas lain tak semestinya sependapat dengan Nik Aziz, jadi saya fikir Pas kena adakan muktamar khas bincangkan hal ini, baru ahli di bawah jelas,'' katanya.

-------------------------------------------------------------------------------------

Mursyidul Am Pas bukan pejuang Islam sebenar

KUALA LUMPUR 28 Julai - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata kesat atau memaki hamun pihak lain.

Katanya, Menteri Besar Kelantan itu seharusnya memberi contoh terbaik kepada ummah dan bukannya memaki hamun dan mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan kepada pihak lain.

"Nik Aziz juga tidak sepatutnya melabelkan mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengannya sebagai menyimpang dari perjuangan Islam sebenar.

"Ini kerana, Nik Aziz sendiri bukan seorang pejuang Islam sebenar dan tidak bersifat sempurna atau maksum seperti Nabi. Justeru, beliau tidak berhak mengeluarkan kenyataan yang bersifat seolah- olah tidak bertamadun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Nik Aziz yang menyebut ungkapan kurang sopan 'pergi jahanamlah UMNO' ketika diminta mengulas 'salam' kerjasama di antara UMNO dan Pas.

Semalam, Mursyidul Am Pas itu menjelaskan, 'salam' kerjasama yang dihulurkan sebelum ini adalah atas hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri yang tiada kaitan sama sekali dengan kesediaan membentuk kerjasama antara Pas dan UMNO.

Menurut Nik Aziz, beliau tetap dengan pendirian menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Ahmad Zahid menambah, jika Nik Aziz atau kerajaan negeri Kelantan mahu berbaik-baik dengan kerajaan Pusat hanya kerana ada udang di sebalik batu, lebih baik lupakan sahaja hasrat tersebut.

Ini kerana, jelasnya, Nik Aziz sendiri tidak pernah ikhlas untuk menjalin hubungan dengan mana-mana pihak sama ada kerajaan Pusat atau UMNO sendiri.

"Lupakan saja hasrat tersebut," ujarnya.


-------------------------------------------------------------------------------------