Wednesday, January 21, 2009

Pro-Mahasiswa menang besar di Universiti Malaya

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Harakah) - Pro-Mahasiswa menang besar dalam pilihan raya kampus Universiti Malaya(UM) selepas berjaya memenangi 21 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Pro-Mahasiswa yang menguasai lapan kerusi umum dari sembilan kerusi yang dipertandingkan sekaligus melayakkan mereka menguasai kepimpinan majlis tertinggi MPMUM bagi sesi kali ini.

Suasana Dewan Tengku Canselor bergema dengan laungan "Student Power" dan "Takbir" oleh penyokong-penyokong Pro-Mahasiswa sebaik keputusan penuh selesai diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaya Prof Madya Dato' Dr Azarae Idris pada jam 3.30 pagi tadi.

Pengerusi kumpulan Pro Mahasiswa, Norazali Zainudin berkata kemenangan tersebut adalah di luar jangkaan kerana pada kali terakhir kumpulan pro Mahasiswa menang adalah pada tahun 2004.

Manakala di Universiti Putra Malaysia pula, Pro-Mahasiswa berjaya membaiki prestasi mereka apabila memenangi 13 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan.

Ia adalah rekod baru mengatasi keputusan lalu iaitu tujuh dengan bilangan calon yang dihantar seramai 18 orang pada kali ini.

Pilihan raya kampus kedua-dua kampus tersebut dijalankan serentak semalam dengan menyaksikan peningkatan sokongan di kalangan mahasiswa kepada kumpulan yang dilihat membawa imej perjuangan kebajikan dan akademik kepada warga kampus.

Kini hanya tinggal sebuah lagi kampus iaitu Universiti Islam Antarabangsa yang akan menghadapi proses pembuangan undi pada 22 Januari selepas melalui proses penamaan calon semalam./wann _

No comments: