Friday, April 30, 2010

Ahmad Tirmizi, Siti Nadhira peserta terbaik menghafaz al-Quran

Utusan Malaysia: 27/04/2010
 
MELAKA 26 April - Pelajar, Siti Nadhira Mohd. Shafie, 17, dari Selangor muncul peserta wanita terbaik dalam Pertandingan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-31 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini yang berakhir malam tadi.
Siti Nadhira bukan saja dinobatkan sebagai peserta terbaik wanita malah turut menjadi johan bagi kategori menghafaz juzuk satu hingga 30 dalam pertandingan yang disertai oleh 73 peserta dari seluruh negara itu.
Pelajar Akademi al-Tahfiz al-Quran di Ampang itu mencatatkan markah tertinggi iaitu 97.33 peratus melayakkannya menerima hadiah berupa pakej mengerjakan ibadat haji, wang tunai RM10,000 dan piala iringan daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob pada majlis tersebut.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Siti Nadhira ketika ditemui berkata, dia bercita-cita untuk mempraktikkan kemahiran menghafaz al-Quran bagi tujuan dakwah selepas tamat pengajian peringkat diploma di akademi itu nanti.
''Saya meminati bidang hafazan al-Quran ini sejak usia tujuh tahun dan bapa, Mohd. Shafie Md. Ali merupakan individu yang paling banyak memberikan dorongan kepada saya untuk komited menguasai bidang ini," katanya.
Sebanyak 40 peserta lelaki dan 33 peserta wanita menyertai pertandingan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Tahap Pertama (juzuk satu hingga 10), Tahap Kedua (juzuk satu hingga 20) dan Tahap Ketiga (juzuk satu hingga 30).
Jemaah juri dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dengan penilaian dibuat melalui aspek kelancaran hafazan, hukum tajwid, suara, persembahan dan tarannum.
Majlis yang bertemakan 'Memantapkan Ukhuwah Memperkasakan Ummah' berlangsung selama lima hari bermula 21 April lalu.
Selain itu, menurut Siti Nadhira, penyertaannya pada pertandingan tersebut adalah kali keempat selepas pertama kali menyertainya pada tahun 2007 di Terengganu.
Anak keenam daripada 13 adik beradik itu berkata, penyertaannya pada tahun ini membawa tuah apabila dianugerahkan sebagai peserta terbaik berbanding penyertaan tahun lalu apabila hanya berjaya menjadi johan peserta wanita untuk kategori juzuk satu hingga 30.
Sementara itu, peserta terbaik lelaki dirangkul Pengurus Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya di Selangor, Ahmad Tirmizi Ali yang mewakili negeri Terengganu.
Ahmad Tirmizi, 25, turut diumumkan sebagai pemenang tempat pertama kategori lelaki juzuk satu hingga 10 dengan kutipan markah tertinggi iaitu 99.19 peratus.
Anak kelima daripada 12 adik beradik itu mula menghafaz al-Quran ketika berusia 17 tahun kerana minat yang mendalam untuk menguasai ilmu al-Quran.
Ahmad Tirmizi yang baru enam bulan bertugas sebagai Pengurus Masjid Al-Hidayah itu berhasrat untuk menyumbangkan kemahiran menghafaz al-Quran yang dimilikinya dengan mewakili negara ke peringkat antarabangsa
''Untuk menghafaz al-Quran dengan baik, kita harus membacanya berulang kali pada setiap hari, bagi saya sendiri, dalam satu hari, saya perlu membaca empat hingga 10 surah dan menghafalnya dengan betul," katanya.
Pemuda kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, minat yang mendalam dalam bidang hafazan al-Quran mendorong dirinya dan empat ahli keluarganya yang lain merakamkan album menghafaz al-Quran bertujuan membantu memudahkan umat Islam yang lain menguasai ilmu al-Quran.

~~jeles nye dengan orang yang hafal al Quran ni..

No comments: