Friday, April 3, 2009

Buku Terbaru ! Aku Terima Nikahnya 2 dan Rindu Bau Pohon Tin by Ust Hasrizal






Aku Terima Nikahnya (ATN) pergi terlalu jauh.

Terlalu melebihi jangkaan saya, malah mungkin penerbit sendiri.

Hingga sukar mengejar permintaan pasaran dan saban masa keluhan datang pada kesulitan mendapatkannya.

Penerimaan yang begitu menggalakkan terhadap buku ATN, adalah bukti bahawa persoalan cinta adalah persoalan yang besar. Mungkin ada sebahagian pembaca membeli buku ATN kerana mahu mencari formula cinta, tetapi akhirnya yang ditemui adalah hala tuju sebuah kehidupan. Cinta hanyalah terjemahan kepada pelbagai peristiwa dalaman yang berlaku di susuk tubuh seorang makhluk bernama manusia.

Sesungguhnya ATN hanya satu permulaan.

Bukan sekadar permulaan buat pembaca yang membacanya. Tetapi permulaan kepada saya selaku penulisnya. Banyak dimensi cinta, rumahtangga, keluarga, dan perjuangan di gelanggang Baiti Jannati yang Allah Subhanahu wa Ta’aala tontonkan kepada saya, pasca Aku Terima Nikahnya.

Setahun selepas pelancaran ATN, adalah setahun yang meributkan jiwa dan minda saya. Tatkala manusia terasa dirinya tiba ke matlamat dengan lafaz Aku Terima Nikahnya, rupa-rupanya ia hanya satu permulaan. Langkah pertama sebuah perjalanan luar biasa untuk manusia Bercinta Sampai ke Syurga.

Nantikan pelancaran buku Aku Terima Nikahnya ‘2′ bertajuk BERCINTA SAMPAI KE SYURGA pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, 17 - 26 April 2009 akan datang. Insya Allah.

Kali ini perasaannya mungkin berbeza. BERCINTA SAMPAI KE SYURGA adalah suatu pelayaran di tengah lautan tanda tanya, tentang realiti sebuah kehidupan berumahtangga. Lautan yang adakalanya hening dan damai memercik bahagia, ada masanya pula dilanda ribut taufan yang bisa menenggelamkan manusia yang cuba menduga laut cinta dengan kail yang kadar sejengkal.

Realiti yang lebih menguji dua kaki yang memijak bumi, juga tangan yang menggapai awan.



RINDU BAU POHON TIN

Semasa turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, saya terhidu sesuatu.

Dalam merah senja terbenamnya mentari di bumi Qatar, hembusan angin membawa suatu aroma yang amat saya kenali. Baunya tajam menusuk jiwa, harumannya pantas mengheret saya ke dekad silam yang penuh kenangan.

“Demi buah Tin dan demi buah Zaitun…,” demikian sumpah Allah di dalam Firman yang agung.

Buah yang menjadi simbol Dataran Syam, bumi Palestin.

Setelah lama tidak menjejakkan kami ke bumi Arab, kunjungan saya ke Doha juga Dubai, telah membuka hati saya kepada sebuah kerinduan. Bukan merindukan cinta, bukan mengkhayalkan impian. Tetapi rindu kepada sebuah perjalanan Tarbiyah yang penuh suka dan duka, senang dan susah. Kembara anak rantau mengejar ilmu dan cita-cita di Dataran Syam…

Saya merindukannya.

RINDU BAU POHON TIN.

Buku pertama saya dari siri Travelog Tarbiyah ini Insya Allah bakal dilancarkan juga pada musim Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan datang. Jangan lupa untuk mendapatkannya, kerana ia adalah sejuzuk daripada kehidupan saya, yang saya kongsikan bersama pembaca dalam semangat Erti Hidup Pada Memberi.

PROMOSI

Insya Allah, saya juga akan mengisi sesi Wacana Buku bagi mengupas buku Bercinta Sampai ke Syurga yang akan dikendalikan oleh Ustaz Zamri Zainal Abidin (ikim.fm). Turut serta di dalam sesi ini adalah Ustaz Zulramli Hj Razali bersama bukunya U-Turn ke Jalan Lurus. Sesi ini akan diadakan di pentas utama ruang legar PWTC pada Sabtu 25 April 2009 jam 11 pagi.

Seterusnya saya dijemput untuk hadir bertemu dengan pembaca di gerai Galeri Ilmu Sdn Bhd pada hari yang sama, jam 3 petang.

Para pembaca semua dijemput hadir ke kedua-dua sesi tersebut.

Semoga semuanya berjalan lancar. Saya juga ingin mengajak pembaca untuk mendoakan taufiq dan ‘inayah daripada Allah Subhanahu wa Ta’aala untuk dikurniakan kepada sekalian warga kerja Jabatan Buku dan seluruh warga Galeri Ilmu Sdn. Bhd. yang sedang bertungkus lumus menyiapkan bahan-bahan yang bakal dipersembahkan di Pesta Buku nanti. Allaahumma Yassir wa Laa Tu’assir ya Kareem…

Semarakkan dunia buku, agar ummah meningkat mutu.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Mencipta…”

ABU SAIF @ www.saifulislam.com