Wednesday, February 25, 2009

Laluan dagangan Gaza


Mereka menyedari risiko yang bakal dihadapi, namun terowong seluas satu meter dengan kedalaman tujuh meter itu ibarat ‘nyawa’ untuk rakyat Palestin.




BUKAAN 'mata' terowong itu kecil. Ia merupakan lubang berbentuk segi empat yang tenggelam antara jubin-jubin dapur di sebuah rumah terbiar di Genting Gaza. Untuk memasukinya, seseorang perlu berani mencapai seutas tali dan melompat ke dalamnya.

Laluan sempit itu hanya seluas satu meter. Dengan kedalaman tujuh meter dari permukaan tanah, terowong sepanjang setengah batu jauhnya itu menembusi hingga ke sempadan Mesir.

Ketika merangkak di dalamnya, deraian pasir halus jatuh terkena rambut dan wajah. Apa yang paling menakutkan ialah terowong yang tidak disokong dengan sebarang bumbung dan ceracak itu boleh runtuh pada bila-bila masa.

Bimbang terowong itu diketahui dan gas beracun atau penembak dihantar untuk membunuh mereka, Abu Mutassem dan empat penggali lain jarang sekali mengambil mudah perjalanan selama 45 minit itu.


DIPERCAYAI lubang terowong tanpa bumbung atau ceracak ini boleh runtuh pada bila-bila masa.


Penyeludup terpaksa bergerak secara perlahan-lahan melintasi terowong sejuk pada sebelah malam. Hanya bertemankan cahaya lampu suluh yang menerangi kegelapan bawah tanah, satu-satu sumber udara datang daripada tiub-tiub besi yang tersorok di semak berdekatan dengan kawasan sempadan. Terowong itu berakhir di bawah lantai mana-mana bangunan di Mesir.

"Anda ada pasport?" tanya salah seorang penyeludup. Merangkak keluar dari lubang dan berjaya melintasi sebuah pekan di sempadan Mesir pada tengah-tengah malam adalah sesuatu yang sukar dipercayai. Jika ditangkap pihak berkuasa, mereka berdepan dengan risiko dipenjarakan.

Beg-beg kanvas dijatuhkan ke dalam terowong. Dengan penuh berhati-hati, Abu Mutassem dan rakan-rakannya membawa beg-beg tersebut melintasi sempadan bawah tanah ke dalam Gaza.

Hanya setelah dia memanjat ke atas dengan tali dan keluar dari bukaan lubang itu, Abu Mutassem memeriksa 'kargonya'. Di dalamnya tersimpan 70 laras rifel separa-automatik Kalashikov, yang dibalut berasingan dalam plastik untuk mengelakkannya daripada menjadi kotor.

Di Gaza, setiap senjata api itu boleh mencecah harga sekitar RM3,111, sedangkan, kos senjata-senjata api tersebut tidak melebihi RM720 jika dibeli daripada komuniti Beduin.

Abu Mutassem dan rakan-rakannya akan berkongsi sekitar RM910 untuk setiap senapang. Margin keuntungan ke atas penjualan peluru lagi tinggi.

Mereka yang berjaya mendapat keuntungan tertinggi akan menjadi pemilik terowong atau 'ketua' dan melaburkan sejumlah RM181,625 untuk membeli rumah di sempadan.


UNTUK masuk ke dalam lubang bersegi empat individu perlu menggunakan tali.
UNTUK masuk ke dalam lubang bersegi empat individu perlu menggunakan tali.


Sesetengah pihak menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 500 laluan bawah tanah merentasi Mesir yang kebanyakannya tertumpu di pekan Rafah.

Terowong-terowong awal di bawah kawasan Gaza yang digali beberapa tahun lalu pada mulanya hanya untuk tujuan penyeludupan senjata api sebagai serangan ke atas Israel.

Namun, sekurang-kurangnya 35 terowong seumpama itu telah ditutup oleh Hamas.

Penutupan terowong itu tidak pasti berlaku akibat pertelingkahan antara 'ketua-ketua' atau sebagai sebahagian daripada komitmen pergerakan Islam dengan Israel di bawah satu perjanjian menghentikan peperangan selama enam bulan.

Kebanyakannya bagaimanapun kekal dan 'terowong-terowong askar' yang digunakan untuk membawa bahan letupan, dana ataupun roket ke dalam Gaza tidak akan dihapuskan.

Seperti mana-mana penjual, bekalan kargo yang dibawa oleh golongan penyeludup berbeza mengikut permintaan pelanggan. Adakalanya barangan yang diseludup itu termasuk dadah, rokok, minyak wangi mahupun binatang-binatang liar seperti ular Afrika untuk keperluan zoo.

Seorang penyeludup, Hisham al Loukh, 23, mendedahkan bukan sahaja barangan elektronik, pakaian dan makanan 'dieksport' bahkan juga manusia.

"Pernah sekali, seorang pengantin dari Mesir sanggup mengharungi terowong semata-mata untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya di Gaza," katanya.

Penyeludup lazimnya hanya perlu melakukan kejayaan menyeberangi sempadan untuk sekali sahaja bagi menukarkan pelaburan awal kepada keuntungan.


SECARA dasarnya terowong ini digali untuk tujuan penyeludupan senjata api.


Namun, hakikatnya tuah tidaklah menyebelahi penggali-penggali terowong itu.

"Itu adalah pekerjaan paling teruk di dunia," kata Abu Mutassem.

Setakat ini, sejumlah pekerja bawah tanah telah terkorban sama ada sewaktu proses penggalian berlangsung mahupun pemusnahan terowong-terowong itu oleh pihak berkuasa Mesir.

Dalam satu kes, sebuah terowong ranap selepas pihak berkuasa Mesir mengepamkan air ke dalam laluan tersebut.

'Mangsa' tersebut ditarik keluar kira-kira 24 jam kemudian oleh salah seorang keluarga yang mendominasi perniagaan terowong itu.

Bayangkan, budaya mengenai terowong begitu kukuh di Rafah. Sehinggakan tukang gunting rambut jalanan, Salon Shaheeds turut menggantung gambar-gambar mereka yang terkorban di dinding dan cermin dalam kedainya.

Seorang pemilik terowong berdindingkan kayu, Jamil al-Masri pula berkata, terowongnya menelan belanja kira-kira RM255,000 untuk dibina. Terowong sepanjang 250 kaki melintasi sempadan Mesir itu digunakan untuk membawa masuk barangan keperluan ke dalam Gaza.

"Sudah tentu saya risau jika Israel mengebom kami lagi. Tapi, apa yang kami seludup ke dalam Gaza adalah barangan keperluan masyarakatnya.

"Lagipun, 'keuntungan' yang dikaut itu menyukarkan pihak berkuasa menghalang perdagangan haram itu," kata Jamil sambil memberitahu keuntungan yang diperoleh akan dibahagi secara rata dengan 'rakan-rakan kongsi' di sempadan Mesir pula.


ATAS: Inilah pintu masuk terowong untuk menyeludup barang-barang keperluan dari sempadan Mesir ke Gaza.


Sekatan berterusan Israel bagaimanapun tidak pernah melumpuhkan aktiviti perdagangan bawah tanah itu.

Terowong-terowong terkini adalah lebih rumit berbanding laluan asas Abu Mutassem. Penggalian menggunakan tangan telah digantikan dengan peralatan elektrik. Kabel-kabel elektrik dan telefon juga disambungkan menerusi terowong. Pembersih vakum pula digunakan untuk menyingkirkan tanah-tanah longgar.

Pengeboman lubang-lubang terowong di sempadan antara Gaza dan Mesir oleh Hamas tidak berapa lama lalu juga dilihat sebagai 'halangan' sementara.

Gaza yang berkeluasan 365 kilometer (km) persegi telah 'tertutup' sepenuhnya daripada dunia luar oleh pagar Israel dan dikawal ketat oleh menara pemantau, penembak tepat dan kereta-kereta kebal.


SEORANG lelaki mengisi minyak petrol untuk diseludup ke Gaza melalui terowong.


Sejak Israel menghalang penjualan petrol ke Gaza, bahan api itu telah menjadi komoditi paling menguntungkan untuk diseludup.

Nabil Erbaya dan anak lelakinya, Helmi adalah antara yang terkorban akibat terhidu bau minyak bahan api yang tertumpah di bawah tanah.

"Kami pertaruhkan nyawa demi mencari rezeki," kata seorang pak cik Helmi sambil memerhatikan bilangan orang yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada saudaranya yang terkorban di kediamannya.

Seorang lagi anak lelaki Nabil, Arafat, 17, yang telah pulih pula berjanji tidak akan kembali ke terowong lagi. Namun, abangnya bersedia untuk mengambil alih perniagaan keluarganya.

"Saya mungkin menggali kubur sendiri, tetapi di bawah sana adalah lubuk emas," katanya tanpa perasaan takut.