Friday, January 2, 2009

Israel mahu hapus pergerakan Hamas





Menteri Yahudi petik kata-kata Obama sebagai 'lampu hijau' untuk serang Gaza

GAZA: Israel tidak mempedulikan reaksi antarabangsa mengenai kekejamannya di Gaza dengan meneruskan kempen ketenteraan pada hari ketiga bertujuan menghapuskan sama sekali pergerakan Hamas yang sehingga ini mengorbankan 318 orang dan mencederakan 1,400 lagi.

Sikap Israel ini dicerminkan menerusi kenyataan Menteri Pertahanannya, Ehud Barak yang menyatakan Israel 'akan memerangi Hamas sepenuhnya' dibuktikan menerusi pengeboman secara besar-besaran di Gaza.

Beliau mengimbas kembali perbualannya dengan Barack Obama ketika bakal presiden Amerika Syarikat itu melawat Sderot di Israel, bandar yang sering menjadi sasaran militan Gaza, Jun lalu.

Barak memetik Obama sebagai berkata: "Jika ada orang melancarkan roket ke rumah saya ketika dua anak perempuan saya sedang tidur, saya akan lakukan apa saja untuk menghalangnya, dan saya rasa Israel juga akan melakukan yang sama. Itu yang dikatakan Obama dan itulah yang kami buat."

Israel juga dilihat sudah hampir mengerahkan pasukan keselamatannya untuk melancarkan operasi darat di Gaza dan mula menempatkan kereta kebal dekat sempadan dan mengerah anggota simpanannya melaporkan diri.

Bantahan negara Islam terhadap Israel dapat dilihat di Iran, Lubnan, Syria, Turki, Indonesia, Malaysia dan Pakistan dan negara lain yang setakat ini gagal membawa Israel untuk berdialog.

Antara tindakan lain negara Yahudi itu termasuk menutup kawasan sempadan itu daripada wartawan antara dua hingga empat kilometer dekat Gaza dan azamnya yang bersungguh-sungguh untuk membunuh pemimpin Hamas apabila mereka memusnahkan rumah seorang pemimpin pergerakan itu, Ismail Haniyeh.

Pengeboman bertalu-talu Israel � lebih 300 serangan udara sejak tengah hari Sabtu lalu � menyebabkan kemusnahan teruk di Gaza dan meruntuhkan bangunan sehingga berkecai. Pihak tentera berkata kapal perangnya juga melancarkan pengeboman terhadap sasarannya dari laut.

Salah satu serangannya terkena bangunan lima tingkat yang menempatkan bahagian wanita di Universiti Islam, sebuah simbol terkemuka Hamas di Gaza.

Kelmarin, pesawat Israel menyerang sebuah bangunan di kem pelarian Jebaliya di sebelah bandar raya Gaza, menyebabkan seorang wanita, seorang budak kecil dan tiga remaja perempuan terkorban, kata pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Dr Moaiya Hassanain.

Di bandar selatan Rafah, seorang budak kecil dan dua abang remajanya terkorban dalam serangan udara yang mensasarkan seorang komander Hamas, kata Hassanain.

Di bandar raya Gaza, satu lagi serangan membunuh seorang lelaki dan isterinya. Sesetengah anggota keluarga yang tinggal bersebelahan bangunan Hamas, bertindak melarikan diri kerana bimbang mereka mungkin turut menjadi sasaran.

Persatuan Palang Merah Antarabangsa berkata hospital di Semenanjung Gaza sudah dipenuhi oleh terlalu ramai mangsa dan tidak terdaya lagi.

1 comment:

zanurul wani said...

"Ya ALlah, kami letakkan kamu di batas leher musuh kami, dan kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan mereka, ya Allah! Leburkan kumpulan mereka, cerai
beraikanlah pakatan mereka, goncanglah pendirian mereka, hantarkan anjing-anjing kamu ke atas mereka, wahai Tuhan yang penuh raksaksa, wahai Tuhan yang gagah perkasa, wahai Tuhan yang bersifat murka, ya Allah, ya Allah, ya ALlah, wahai Tuhan yang menurunkan kitab, wahai Tuhan yang mengerakkan awan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-Ahzab, kalahkan mereka, menangkanlah kami keatas mereka"

salam ziarah :)